Make your own free website on Tripod.com
 

Sumbangan Tamadun Islam Dalam Bidang Fizik (1)

   DEFINISI FIZIK

Perkataan fizik berasal dari perkataan Inggeris physics . Perkataan Inggeris itu pula berasal dari perkataan Yunani physis yang bermaksud tabii. Dalam konteks moden , fizik merupakan satu cabang ilmu tentang alam kejasmanian , sifat-sifat benda dalam alam itu , dan tindakan bersaling antara benda itu serta perkara-perkara yang berkaitan dengan jirim dalam ruang .

Menurut Kamus Dewan Edisi 1991 , fizik merupakan ilmu yang mempelajari sifat-sifat umum , keseimbangan dan gerakan benda dan juga gejala-gejala panas , cahaya , tenaga elektronik dan besi berani .

             Pada zaman tamadun Islam tidak satu ada disiplin yang berpadanan dengan fizik seperti yang difahami sekarang , ini kerana pada ketika itu pengotakan dan pemasangan atau pemecahan ilmu tidak berlaku . Yang ada pada ketika itu falsafah tabii ( tabi’yyat ) yang di dalamnya termasuklah sains hayat , sains bumi dan juga fizik . Optik yang sekarang dikelaskan sebagai satu cabang fizik berada di bawah cabang matematik pada masa itu .

FIZIK SEBELUM TAMADUN ISLAM

            Pada abad ke-4 M , pemikiran fizik dipelopori oleh teori fizik Aflatun ( Plato ) dan Aristoteles . Dalam kajian fizik yang mereka lakukan terdapat penggunaan Matematik yang menunjukkan bahawa mereka menekankan kepentingan matematik dan peranan utamanya  dalam menjelajah alam semesta ini . Teori mereka dipengaruhi oleh pemikiran mazhab ( qaul atau pengikut ) Pithagoras yang berpendapat seperti berikut :

*  Alam ini bertertib .

*  Bahagian-bahagian alam ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain yang juga berkaitan dengan keseluruhannya .

*  Bahagian-bahagian alam ada perbezaan struktur seperti pengutuban dan pasangan yang berlawanan .

            Pendapat-pendapat ini kemudiannya diterima oleh orang Islam kerana mereka berpendapat pandangan ini disokong oleh  al-Quran menerusi ayat-ayat yang terjemahannya seperti berikut:

*  “ Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang . Dan masing-masing beredar pada garis edarnya .” ( Al-Quran , Surah Yasin : 40 )

*  “Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu kemudian , Kami pisahkan antara keduanya .” ( Al-Quran , Surah al-Anbiya’ : 30 )

*  “Maha suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya , baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui .” (Al-Quran , Surah Yasin : 36 )

Di samping itu satu perkara lain yang menarik perhatian mazhab  Pithagoras ialah sifat dinamik yang ada pada makhluk alam kejasmanian ini . Sifat dinamik ini terhasil daripada tindakan data keatasnya dan pergerakan yang ada padanya . Aflatun cuba memberi penerangan rasional tentang alam semesta melalui bukunya Timaeus . Aristoteles pula menganggap bahawa langit terdiri daripada siri sfera sepusat tersusun mengelilingi bumi sebagai pusatnya .Kesemuanya ada lapan sfera cakerawala dan empat cakera bumi termasuklah bumi itu sendiri . Sfera yang mengelilingi sistem ini dianggap oleh Aristoteles sebagai “ Keharmonian Sakti ” yang telah menyebabkan putaran keseluruhan sistem cakerawala , iaitu planet-planet dan bintang hidup .Putaran inilah yang menyebabkan hidup mati di alam tumbuhan dan haiwan dan digelarnya “ Peraturan Sakti ” itu . Pendekatan demikian telah mencetuskan pemikiran dwikotomi di antara langit dan bumi . Pendekatan demikian merupakan asas bagi fizik Aristoteles yang pada dasarnya menjadi fizik tentang gerakan .

Fizik Aristoteles bertujuan memberi  penjelasan tentang fenomenon-fenomenon alam bumi dan fizik cakerawala . Asas pemikirannya seperti berikut :

*  Semua objek di dalam ini ada zat bentuk dan bahan ( jirim ). Menurut Aristoteles , jirim bersifat selanjar .

*  Semua benda berubah daripada keadaan keupayaan ( potensi ) kepada keadaan kewujudan sebenar ( aktualiti ) atau semua perubahan digambarkan sebagai aliran daripada keupayaan kepada keberkesanan .

*  Gerakan terhasil daripada perubahan .

*  Benda-benda yang wujud terdiri daripada empat unsur : tanah , air , api , dan udara . Sifat-sifat benda ini bergantung kepada saiz bahagian unsur yang terkandung di dalam benda itu .

*  Sesuatu jasad yang gerakannya dipaksa akan terus bergerak selama jasad itu bersentuh dengan agen yang menyebabkan gerakan itu ( teori ini berlawanan dengan prinsip moden inersia ) atau tegasannya , gerakan paksaan tidak berlaku tanpa penyertaan satu tindakan daya . Idea ini merupakan titik permulaan bagi konsep impetus dalam gerakan .

              Penerangan tentang alam ini terus berkembang dengan pemikiran oleh Epikurus ( Epicurus ) pada Zaman Helenis ( Zaman Yunani ) . Teori beliau menyatakan bahawa zarah ( atom ) mempunyai saiz dan bentuk yang terhingga .

            Berlawanan dengan teori fizik Epikurusan ialah teori keselanjaran Stoik ( Stoic ) yang berasaskan hasil kerja Zeno , Krisipus ( Chrysippus ) dan Poseidonius . Mereka menganggapkan alam kejasmanian ini sebagai kontinum dinamik yang koheren oleh kerana wujudnya suatu benda , yang dinamainya “ pneuma ” yang menyerapi alam semesta dan semua jirim yang terkandung di dalamnya .

            Zaman kegemilangan sains Yunani dikaitkan dengan nama-nama seperti Euklid , Arkhimedes , Eratosthenes , Apolonius Perga dan Hiparus . Melalui hasil karya mereka , sains purba ini memuncak . Arkhimedes dalam bukunya The Sand Reckoner telah membina satu cara untuk mengungkapkan nombor yang sangat besar . Kaedah ini digunakannya untuk mengira bilangan bijian pasir di dalam sfera dan jejari yang memberi jarak antara Bumi dengan Matahari . Arkhimedes juga memperkenalkan penggunaan pertimbangan mekanik untuk memperolehi usulan ( teorem ) geometri .

            Kerja-kerja Batlamus ( Ptolemy ) menerusi karyanya The Mathematical Syntaxis dan Almagest telah ditulis dalam pertengahan abad ke-2 M . Kerja ini berkaitan dengan asas teori dan asas eksperimen hipotesis geometri terhadap masalah  matematik yang berkaitan dengan gerakan teratur bulan , matahari dan lima buah planet yang diketahui pada masa itu . Batlamus , seorang ahli astronomi yang beramal bersama Applolonius Perga , dan Hiparkhus semuanya berpegang kepada aksiom bahawa gerakan bintang dapat dijelaskan sebagai gabungan gerakan bulat yang seragam .

            Teori Batlamus menimbulkan masalah untuk dipadankan dengan hasil eksperimen . Warisan pemikiran sains dari zaman purba dan Helenisme terdapat dalam sastera falsafah pada masa-masa kemudiannya seperti melalui penulisan “ qaul neoplato ” yang seorang daripadanya ahli falsafah Kristian bernama Johannes Philoponus . Beliau mengajar pada abad ke-16 M di Iskandariah dan merupakan pengkritik Barat terakhir Aristoteles .