Sumbangan Tamadun Islam Dalam Bidang Fizik (2)

SUMBANG AHLI FIZIK ISLAM TERHADAP FIZIK TEORI

            Fizik yang telah dikaji oleh orang Yunani terus dikembangkan oleh orang Islam pada abad yang ke-7 M hinggalah kepada abad ke-12 M . Tidak dapat dinafikan bahawa orang Islam amat dipengaruhi oleh kitab suci mereka , iaitu al-Quran . Sebahagian besar datipada al-Quran mengajak manusia untuk mencerap dan mengkaji alam ini . Boleh dikatakan bahawa kajian fizik menurut al-Quran memanglah dituntut ke atas manusia . Umpamanya kita boleh melihat ayat-ayat al-Quran berikut yang bermaksud :

*  “ Muliakan nama Tuhanmu yang Paling Tinggi , yang menciptakan dan menyempurnakan . Yang menentukan hukum dan memberi bimbingan .”  ( Al-Quran , Surah al-A’la : 13 )

*  “ Tidakkah kau lihat bahawa Allah menundukkan bagimu segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi .” ( Al-Quran Surah Luqman : 20 )

Jelas dari ayat –ayat tersebut di atas bahawa alam yang dicipta Allah A.W.T. ini tertakluk kepada hukum-hukumnya dan benda-benda yang di langit dan di bumi itu untuk kegunaan manusia . Ayat-ayat al-Quran yang telah dipetik di atas serts banyak lagi yang lain , telah mendorong ramai kaum Muslimin mengkaji lebih mendalam tentang alam kejasmanian mulai abad ke-7 . Sebelum ini , kajian ini banyak dibuat oleh orang China dan India . Hasil-hasil kajian mereka telah diambil oleh ahli sains Islam sebagai titik permulaan untuk  memulakan kajian mereka mengenai alam kejasmanian . Hasil-hasil kajian mereka diterima oleh ahli sains Islam kerana Islam tidak menghalang  penganut memperolehi ilmu dari orang bukan Islam , lagipun kajian-kajian orang bukan Islam itu tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam .

Dengan adanya minat , kegigihan serta kesungguhan , para ahli sains Islam telah berjaya meningkatkan dan memajukan sistem sains sehinggalah pusat-pusat pengajian Islam menjadi tumpuan golongan cerdik pandai pada masa itu terutamanya dari benua Eropah . Keadaan ini berterusan  sehingga abad ke-13 M , di mana kedudukan orang Islam dalam dunia sains mencapai zaman kegembilangannya .

Perkembangan fizik teori semasa tamadun Islam telah dilakukan oleh beberapa golongan . Golongan yang terkenal terdiri daripada ahli-ahli falsafah peripatetik yang digelar sebagai Masya’iyyin , ahli teologi yang digelar sebagai Mutakallimum , ahli gnosis yang digelar Urafa kumpulan Mulla Sadra . Mereka ini memajukan fizik teori yang bukan semata-mata terbabit dengan kajian fizik sahaja , malahan ia ikut serta dalam bidang-bidang lain seperti falsafah dan teologi .  

Di kalangan para falsafah peripatetic seperti al-Farabi , Ibn Sina , Khawajah Nasiruddin , Ibn Bajjah dan Ibn Rusyid banyak merujuk kepada pemikiran falsafah Yunani . Mereka menganggap alam ini sebagai memenuhi prinsip perubahan dan fizik merupakan sains berkenaan dengan perkara yang berubah . Sebagai contoh , al-Farabi ( 872-950 M ) , seorang ahli falsafah Turki , telah mengkaji tentang bunyi dalam muzik dalam sebutan gelombang udara . Ibn Sina ( 980-1037 M ) pula mengkaji perkara tentang halaju bunyi dan cahaya . Beliau berpendapat bahawa kesan cahaya bersifat serta-merta , sementara bunyi ada suatu halaju yang menyebabkan bunyi boleh didengar beberapa ketika selepas kejadian bunyi berlaku . Al-Haitham ( 965-1039 M ) telah menyangkal pendapat ini dan telah membuktikan secara eksperimen bahawa cahaya juga ada halaju yang terhingga .

Di samping ini , ahli falsafah peripatetic juga menyatakan bahawa setiap jasad terdiri daripada bentuk dan jirim yang bersifat selanjar . Bagi mereka , ruang ini dan detikan masa juga adalah selanjar . Suatu titik di dalam ruang atau satu detikan masa tidak lebih daripada aspek kenyataan selanjar yang diniskalakan oleh pemikiran kita sebagai sesuatu yang tidak ada kewujudan objektif .

Ahli falsafah ini juga menegakkan doktrin kebersebaban dan menganggap bahawa dalam alam ini semua kejadian berlaku disebabkan oleh set-set sebab dan apabila ia berlaku akan semestinya , mengikut keperluannya , menghasilkan kejadian yang dipertimbangkan itu . Mereka menganggap ini tidak bercanggahan dengan kehendak Allah kerana setiap kejadian akhirnya dapat dikaitkan dengan ‘Sebab Perdana’ itu seperti yang terkandung dalam ayat yang bermaksud :

* “ Allah menciptakannya segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu .” ( Al-Quran , Surah al-Zumar : 62 )

*  “ Apakah kamu tiada mengetahui bahawa kepada Allah sujud apa sahaja yang ada di langit , di bumi , matahari , bulan dan bintang , gunung , pohon-pohon , binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia .”  ( Al-Quran , Surah al-Haj :18 )

            Oleh yang demikian , pada pendapat ahli falsafah peripatetic , alam ini bergantung kepada Allah untuk kewujudan , yakni alam ini tidak boleh berdiri dengan sendirinya . Sungguhpun demikian , alam ini pada mata kasar kelihatan seolah-olah ada kenyataan relatif tersendiri yang boleh diasingkan daripada kehendak Allah . Ayat-ayat yang disebut di atas membawa maksud bahawa alam dan segala benda yang berada di dalamnya mematuhi peraturan-peraturan yang Allah telah tentukan .Peraturan-peraturan ini dikenali sebagai hukum-hukum dalam bidang fizik .Hukum-hukum ini membolehkan manusia mengetahui alam yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar .  Pengetahuan inilah yang membolehkan manusia mengetahui , memahami tingkah laku makhluk yang ada di dalam alam ini , misalannya salah satu hukum asas fizik yang dinamai hukum gravity semesta .

 Hasil daripada mematuhi hukum-hukum ini , segala benda ada sifat-sifat dan telatah tersendiri yang membolehkan manusia cerapi . Sebagai contoh , apabila suatu bola diluncurkan maka diperhatikan bahawa bola itu akan menuju ke permukaan bumi . Mata yang memandang melihat bola itu bersendirian , tetapi hakikatnya dalam keadaan bersendirian di udara bola itu berada di bawah suatu tarikan gravity . Kerana bola itu tidak dapat lari daripada mematuhi hukum gravity , maka bola itu tidak boleh tidak akan jatuh ke bumi .

            Ahli teologi dari kumpulan Asy’ari , telah menggunakan perwakilan keatoman untuk menerangkan alam tabii ini . Konsep atom ini di samping dari pengaruh Yunani , ia juga diperolehi daripada ayat al-Quran yang bermaksud :

“ Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah ( atom ) di bumi ataupun di langit . Tidak pula yang lebih kecil dan tidak pula yang lebih besar dari itu melainkan ( semua tercatat ) dalam kitab yang nyata ( Luh Mahfudz ) .”  ( Al-Quran , Surah Yunus : 61 )

Mengikut mereka , ketidakselanjaran antara benda lebih nyata daripada keselanjarannya . Yang demikian alam ini dilihat sebagai mandala yang terdiri daripada entity yang terasing dan konkrit dan tidak ada hubungan mendatar antaranya . Mereka mengatomkan jirim , ruang dan masa dan menolak  konsep kebersebaban yang pada lahirnya menjadikan rantaian di antara satu dengan yang lain bagi perkara ini .

Mengikut teori fizik moden sekarang , keselanjaran atau kekuantuman tidak ada percanggahan . Dalam keadaan manakah keselanjaran atau kekuantuman boleh digunakan bergantung pada keadaan ketika cerapan dibuat .Ahli sufi atau gnosis mempunyai pandangan bahawa alam tabii ini bukan hanya sebagai pentas tindak-tanduk manusia seperti yang dianggap oleh para teologi ; dan bukan satu aspek kenyataan yang mesti dipadankan dengan sistem falsafah am seperti yang dikehendaki  oleh para ahli falsafah , tetapi sebaliknya berupa kenyataan yang mengandungi symbol dan memahami symbol-simbol ini menandakan satu peningkatan dalam perjalanan seseorang menuju kepada Tuhan . Pendapat ini boleh dikesan sumbernya daripada fahaman ayat al-Quran yang bermaksud :

“ antara langit dan bumi sungguh ( terdapat ) tanda-tanda ( keesaan dan kebesaran ) bagi kaum yang memikirkannya .”  ( Al-Quran , Surah al-Baqarah : 164 )

  Hanya setelah symbol-simbol ini difahami dan diterapkan ke dalam rohani barulah boleh ia mengetahui rahsia alam yang sebenarnya . Oleh yang demikian , bagi ahli sufi fenomenon tabii akan dijelmakan olehnya daripada fakta kepada symbol yang selepas ketika itulah alam ini menjadi lutsinar secara metafizik .

Di sini kelihatan bagaimana ahli sufi cuba memberi makna terhadap benda-benda yang dicipta oleh Allah . Benda-benda ciptaan Allah bukan hanya untuk tontonan manusia tetapi merupakan tanda-tanda manusia tentang kewujudan Allah dan segala sifat keistimewaannya sehingga memahami tanda-tanda ini boleh menyebabkan manusia tunduk dan patuh kepada hukum-hukum Allah seterusnya menjadi hamba Allah yang sebenarnya .

Ahli sufi dari kumpulan Ibn Arabi ( 1140-1218M )menganggap kosmos ini sebagai teofani tentang hak Allah yang diperbaharui setiap masa . Cipta-Nya dimusnahkan dan dicipta semula setiap masa seperti yang dikatakan oleh ahli teologi . Kumpulan Ibn Arabi juga menegaskan bahawa kenyataan pada akhirnya tidak bersifat gandaan , tetapi pada hakikatnya bersatu yang bersifat bukan secara kebendaan . Doktrin ini berasaskan kepada ketauhidan Allah S.W.T. yang menunjukkan bahawa semua mandala kenyataan saling berkaitan antara satu dengan yang lain .

Teori ini telah digunakan oleh ahli fizik pada abad 20-an ini . Malah Einstein telah menunjukkan bagaimana jisim m dapat dihubungkan dengan tenaga T ( suatu kuantiti yang tidak bersifat kebendaan ) melelui persamaan T=mc  , dengan c mewakili laju cahaya . Contoh lain untuk menunjukkan perkaitan yang wujud antara mandala elektrik dengan haba , misalnya melalui prinsip keabadian tenaga elektrik dan haba . Tenaga elektrik yang dibekalkan oleh penjana elektrik apabila tiba pada plat saterika akan berubah menjadi haba menyebabkan saterika itu panas .

Bagi kumpulan Mulla Sudra pula , mereka mengamirkan pandangan ahli gnosis , Isyraqiyyin ( iluminasis ) , ahli teologi dan ahli falsafah unutk , menghasilkan suatu perspektif tabii . Mereka berpendapat setiap benda berada dalam proses meningkat ke taraf bentuk tabii yang disebut sebagai “ reality arketip ” atau kenyataan naskhahan . Oleh yang demikian , benda ini mengalami perubahan yang berkaitan dengan ruang dan bukannya berkaitan dengan masa . Dapat diperhatikan bahawa pemikiran Mulla Sudra terhadap alam bersifat dinamik walaupun di samping itu mereka mengabadikan aspek bentuk tabii benda-benda , hubungan dan kesatuan antaranya .

Kumpulan Muslim lain telah menyumbangkan idea-idea mereka sendiri daripada ahli falsafah anti-peripatetik dan para ahli sains seperti Muhammad Ibn Zakaria , al-Razi , al-Biruni dan Abu-Barakah al-Baghdadi . Mereka berpendirian masing-masing . Mereka mengkritik falsafah ahli peripatetic . Umpamanya , al-Razi membina kosmologinya yang tersendiri berasaskan konsep yang dinamainya lima qudama’ ( al-qudama’al-khamsah ) yang mengandungi masa dan ruang . Konsep ini diperolehnya daripada Manichaean dan juga Timaeus yang ditulis oleh Aflatun . Ia juga membina sejenis keatoman yang khusus berasaskan  idea dari  India . Ahli-ahli falsafah ini menjadi pengasas pandangan alam yang menggunakan kaedah perasionalan tanpa cerapan langsung .