Sumbangan Tamadun Islam Dalam Bidang Fizik (3)

TOKOH-TOKOH AHLI FIZIK DALAM TAMADUN ISLAM

Al-Biruni (973-1048 M)

            Al-Biruni seorang pengkritik yang kuat menentang fizik Aristoteles. Beliau banyak mengkritik tentang ‘landasan asas’ fizik Aristoteles seperti kehipomorfan, tempat tabii bagi objek dalam bahagian alam bumi. Beliau juga menyangkal kewujudan vakum berdasarkan penalaran dan cerapan fenomenon tabii. Beliau banyak membincang dan menganalisis dengan dalamnya akan konsep asas fizik seperti gravity, jirim dan ruang, dan gerakan bumi. Beliau telah juga memberi sumbangan dalam bidang mekanik dan hidrostatik. Dalam bidang mekanik beliau telah mengukur gravity spesifik logam dan bahan bukan logam dengan darjah kejituan yang tinggi. Beliau membincang tentang tekanan dan keseimbangan bendalir dan juga penyesakan ke atas air dari mata air.

Abu Barakah al-Baghdadi (1077-1165 M)

            Abu Barakah al-Baghdadi seorang ahli falsafah Yahudi yang pada akhir hayatnya telah memeluk agama Islam. Beliau juga seorang ahli fikir asli yang menguasai mandala falsafah tabii. Kitabnya Kitab al-Mu`tabar mengandungi idea yang berguna untuk fizik. Beliau bukan sahaja meneruskan kritikan kepada teori Aristoteles tentang gerakan luncuran, tetapi beliau juga telah mengkaji masalah pecutan jasad terjatuh dan terluncur. Beliau juga telah memikirkan konsep masa dari sudut lain dengan menimbangkannya sebagai sesuatu yang berhubung dengan proses yang akan berlaku daripada gerakan translasi sahaja. Spekulasinya tentang gerakan memecut mengagumkan kerana beliau mungkin merupakan orang yang pertama menolak teori Aristoteles yang menyatakan bahawa daya malar menyebabkan gerakan seragam yang lajunya berkadaran dengan daya.

Suhrahwadi

            Suhrahwadi menjadi pengasas Isyraqiyyin (iluminasis) dan telah menyediakan asas bagi fizik cahaya. Beliau telah menolak teori Aristoteles tentang kehilomorfan. Bagi ‘zat’ alam ini cahaya, dan jirim itu ‘kegelapan’ tanpa cahaya. Beliau menyatakan bahawa alam bumi dan planet tertakluk kepada daya dan hukum yang sama. Ini tidak asing daripada hukum gravity semesta.

Al-Haitham (965-1038 M)

            Al-Haitham seorang ahli matematik, fizik, dan ahli astronomi. Beliau lebih terkenal sebagai pengasas dalam bidang optik. Beliau yang dikenali di Barat sebagai al-Hazen telah menulis Kitab al-Manazir yang diterjemah oleh sarjana Barat sebagai Optical Thesaurus (Kitab Optik). Dalam buku ini beliau telah menjelaskan konsep momentum yang telah dibina oleh kaum Muslim.

            Beliau juga telah memberi sumbangan penting kepada fizik. Ketika mengkaji gerakan, beliau telah berjumpa dengan prinsip inersia. Kajian optik beliau pula telah menjelmakan banyak pengetahuan optik sehingga optik menjadi satu disiplin yang bertertib dan tertakrif seperti sekarang. Beliau telah menggabungkan penggunaan matematik yang terperinci, model fizik yang telah difikirkan dengan teliti.

            Seperti Arkhimedes, beliau ahli fizik teori dan juga ahli eksperimen.Banyak eksperimen telah dilakukan olehnya seperti eksperimen untuk menentukan gerakan lurus linear bagi cahaya, sifat baying-bayang, penggunaan kanta dan mengkaji secara matematik tentang fenomenon penting dalam optik.

            Dalam kitabnya yang boleh diterjemah sebagai Tritis Fizik, beliau telah menulis kajian lanjutannya tentang hukum pantulan dari permukaan satah ke permukaan cekung dan parabola. Beliau telah mengkaji aberasi sfera dan telah menyedari bahawa bagi cermin parabola, semua sinar cahaya tertumpu pada satu titik. Oleh yang demikian, cermin seperti ini diperakuinya sebagai sejenis yang terbaik untuk membakar. Untuk kajian pembiasan, beliau menggunakan kamera obskura. Dalam kajian itu juga beliau telah menghubungkan perubahan lintasan dengan perubahan halaju apabila cahaya melalui dari satu medium kepada satu medium yang lain. Hasil daripada kajian ini, beliau mencadangkan, dalam bentuk kasarnya, akan hukum masa tersingkat. Malangnya hukum ini terkenal sekarang dengan nama “prinsip terkecil Fermat”, walaupun Fermat menemui hukum ini pada kurun ke-17 M. Hasil daripada cerapan beliau yang teliti dan gigih beliau terjumpa dengan hukum Batlamus yang menyatakan sudut biasan berkadaran dengan sudut insiden (sudut datang atau sudut tuju) bagi sudut-sudut yang kecil. Ini “hukum Snell” pada sudut kecil.

            Perlu juga disebutkan di sini kajian beliau tentang fisiologi mata dan masalah penglihatan. Beliau telah menyangkal teori Euklid dan Batlamus yang menyatakan bahawa mata mengeluarkan cahaya. Beliau percaya sebaliknya, iaitu bahawasanya dalam proses penglihatan, cahaya berjalan dari objek ke mata, seperti yang diterima umum sekarang ini.

Abdul Rahman al-Khazini

            Abdul Rahman al-Khazini seorang ahli fizik yang terkenal. Asalnya beliau seorang hamba bangsa Yunani yang hidup dengan maju jayanya di Mesir pada abad ke-12 M. Beliau bekerja dalam bidang mekanik dan hidrostatik. Di antara beberapa buah buku yang ditulisnya termasuklah Kitab Mizan al-Hikmah (Kitab Neraca Kebijaksanaan) yang memuatkan kerja-kerjanya tentang mekanik dan hidrostatik, terutama sekali tentang kajian pusat gravity. Untuk kerja-kerja ini beliau telah menggunakan hasil kerja Arkhimedes dan juga ahli sains sebelumnya seperti al-Nairizi dan al-Biruni.

Banu Musa

            Banu Musa keluarga ahli sains bernama Musa, iaitu Ibnu Syakir dan anak-anaknya Muhamad, Ahmad dan Hassan. Mereka telah menulis tentang mekanik dakam buku Hiyal Banu Musa. Buku ini mengandungi maklumat tentang sekitar seratus binaan alat mekanik. Buku ini juga telah menyentuh soal tentang pusat gravity dan menjelaskan operasi beberapa alat berdasarkan kepada prinsip mekanik.

            Berkenaan gravity, Banu Musa telah manyatakan tentang kewujudan satu tarikan yang disebut gravity menyebabkan planet-planet di langit “terikat” antara satu dengan yang lain dan juga jasad jatuh ke bumi. Inilah teori yang pada masa ini dikaitkan dengan nama ahli fizik Barat, Isaac Newton (1642-1727 M).

KESIMPULAN

            Telah diperhatikan bahawa mulai abad ke-6 M. bahasa sains telah mula digunakan untuk memahami fenomenon tabii. Sebelum daripada itu penerangan tentang fenomenon dalam alam semesta ini berdasarkan kepada mitologi, iaitu berasaskan hikayat tradisi yang biasanya melibatkan kuasa sakti atau orang-orang keramat dan menggunakan idea popular berkenaan fenomenon tabii atau sosial. Bahasa sains ini meliputi penggunaan konsep sains, pemikiran rasional, prinsip, falsafah dan model mekanik. Perkara yang dicari dalam fizik seperti berikut:

Þ    Prinsip tidak terubahkan yang menjadi landasan bagi fenomenon yang kelihatan berubah.  

Þ    Punca tunggal terhadap kegandaan benda di alam tabii. Prinsip asas ini pada dasarnya berbentuk kebendaan. Kerja-kerja mengkaji fenomenon tabii dibuat kerana manusia ingin tahu tentang kejadian alam sekitarnya dan “zat” yang berkuasa ke atas makhluk ciptaannya mempersoalkan kejadian alam kejasmanian ini serta mendapatkan hukum-hukumnya. Kelihatan bahawa fizik berkisar pada kajian tentang jirim dalam ruang dan masa.

            Dapatlah disimpulkan , bahawa disiplin fizik sebagai satu cabang sains wujud pada zaman tamadun Islam sebagai cabang falsafah tabii. Perkembangan ilmu yang dapat difahami sebagai fizik sekarang bermula dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan matematik iaitu yang mempersoalkan tentang asal usul kejadian alam, telatah alam dan hubungan dengan penciptanya. Bagi para ahli sains Islam al-Quran menjadi satu sumber ilham untuk berkecimpung dalam kajian sains. Idea-idea yang diperoleh daripada al-Quran telah memberi mereka kebolehan untuk menghasilkan beberapa teori fizik seperti dalam mekanik dan mekanik kuantum. Asas asal teori ini telah dan masih digunakan dalam perkembangan fizik zaman ini. Inilah satu-satu contoh bagaimana cerapan renungan dan menyoal tentang alam yng sangat-sangat digalakkan oleh al-Quran membolehkan manusia meningkatkan kedudukan inteleknya ke paras yang sangat mengagumkan. Perhatikan sikap-sikap yang digalakkan oleh al-Quran inilah yang digelar sikap sains pada masa ini. Satu perkara yang dapat diperhatikan ialah (agar yang demikian membolehkan manusia mengenali Khaliqnya) tokoh-tokoh muslim yang telah memperluaskan dan menyumbangkan ilmu ini terdiri daripada mereka yang berminat dalam melaksanakan eksperimen dan mereka yang cuba menyediakan sains alam tabii yang sepenuhnya simbolik dan membatu manusia untuk merenung alam tabii sebagai teofani nama-nama kudus dan kuantiti-kuantiti kudus sebagai kebenaran yang haq, mengatasi dan melebihi daripada alam kebendaan ini.

            Oleh kerana kelalaian mulai abad ke-13 M, kaum muslimin sudah mulai menjauhkan diri daripada berkecimpung secara aktif dalam perkembangan sains amnya. Sebaliknya orang Barat, khususnya telah meneruskan pengembangan sains sejak Renaisans hinggalah hari ini. Satu pandangan berdasarkan perkembangan fizik hari ini yang boleh dibuat ialah hasil karja-kerja para ahli sains Islam dalam fizik, terutama dalam bahagian teori ketika zaman tamadun Islam dahulu, begitu tinggi tarafnya sehingga tidak mudah difahami orang terutama sekali bagi mereka yang kurang fizik asasnya dan boleh menimbulkan kekeliruan pada kalangan orang Islam sendiri. Oleh kerana diragui bahawa kekeliruan boleh mengancam iman seseorang maka orang-orang Islam selepas abad ke-13 M mengabaikan kegiatan dalam sains. Akhirnya ini mendatangkan kerugian besar kepada umat Islam sendiri, seperti terdapat pada abad 20-an umat Islam belum mampu menandingi orang Barat dan Jepun dalam bidang sains dan teknologi. Keadaan demikian boleh berubah jika orang Islam sekarang berubah sikap dan menghidupkan semangat seperti mereka pada zaman tamadun Islam dahulu.